Sunday, February 21, 2021

SINOPSIS DRAMA SEINDAH SAKURA LAKONAN FASHA SANDHA DI TV3

SINOPSIS DRAMA SEINDAH SAKURA LAKONAN FASHA SANDHA DI TV3

DRAMA SEINDAH SAKURA



Seindah Sakura membuktikan hakikat sebuah kehidupan di dunia yang sementara ini sememangnya penuh dengan ranjau berduri. Kegagalan dan kekecewaan bagaikan sudah sebati dalam tubuh gadis yang bernama Shakira. 

Namun hatinya terus berpesan agar tidak terus kecundang dalam melayari perjalanan kehidupan yang singkat. Walaupun Shakira telah ditinggalkan oleh ibunya, Rohani namun dia terus tabah meneruskan kehidupan daifnya bersama nenek tersayang, Nek Kiah.

Sesungguhnya Shakira amat merindui ibunya tetapi apakah daya dia buntu mengenangkan sebab ibunya terus hilang tanpa khabar berita.

Roda terus berputar dan tanpa disedari Shakira kini sudahpun menjangkau usia remaja dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dengan baju yang bertampal sana sini, kasut yang koyak rabak, rambut tidak terurus dengan penampilan yang selekeh, Shakira sering kali diejek oleh rakan-rakan sekelas yang lain. 

Kadang kala, Shakira terpaksa ponteng sekolah kerana masalah kesihatan Nek Kiah yang memerlukan penjagaannya. Pada masa yang sama, sekolah Shakira juga menerima kehadiran Airil, seorang cikgu baru yang tampan dan cukup berdedikasi demi mendidik para pelajar agar menjadi insan yang berguna.

Sikap Shakira yang selalu tidak hadir ke kelas telah mendapat perhatian Airil. Tanpa soal selidik, Airil terus mendenda Shakira agar gadis itu sedar atas kesilapannya, namun Shakira langsung tidak mengendahkan teguran Airil kerana baginya orang seperti Airil tidak akan memahami situasi orang miskin sepertinya. 

Ini membuatkan guru baru itu bertambah geram dengan Shakira dan sering mencari kesalahan Shakira. Sehinggalah pada suatu hari Pak Jamil sendiri pergi berjumpa dengan pengetua sekolah untuk menceritakan tentang nenek Shakira yang telah dimasukkan ke hospital. 

Sejak itu barulah Airil mengetahui punca utama Shakira sering tidak hadir ke sekolah. Saat itu, perasaan bersalah bertalu-talu menghimpit diri Airil. Airil cuba memberi kata-kata perangsang dan menjadi peneman Shakira semasa di hospital sehinggakan mereka mula menyimpan satu rasa di dalam hati masing-masing.

Datuk Malik, bapa saudara kepada Airil merupakan seorang pengusaha yang kaya yang selalu bersedekah kepada anak yatim dan fakir miskin termasuklah Shakira. 

Datuk Malik melayan Shakira seperti anaknya sendiri dan Shakira pula bersyukur dengan perhatian dan bantuan yang diberikan Datuk Malik. 

Shakira tidak pernah menunjukkan perasaan sukanya pada Airil tetapi dia sering dilihat seperti tertunggu dengan kedatangan cikgu yang ternyata berbeza dengan tanggapan pertamanya dulu. Sekarang Shakira dapat menumpukan perhatian pada pelajaran.

Baru beberapa hari dia mengecapi saat gembira bersama neneknya, Rosnah muncul di rumah mereka dalam keadaan yang berkudis di seluruh tubuhnya serta tak bermaya. 

Shakira begitu gembira dengan kepulangan Rosnah akan tetapi neneknya seperti tidak selesa dengan kepulangannya kerana merasakan Rosnah akan membebankan Shakira. Telahan nenek Kiah ternyata tepat. Keadaan Rosnah mengakibatkan Shakira kelam kabut untuk menjaga nenek dan ibunya. 

Apabila nak ke sekolah saja, Rosnah akan memanggil meminta pertolongan untuk membuang air. Malah ada juga beberapa kali Shakira tak sempat memapah Rosnah ke bilik air, dan najisnya tercicir di lantai. Shakira pada mulanya agak tertekan dengan situasi baru yang melanda dirinya tetapi nasihat Airil sentiasa menyejukkannya.

Orang kampung begitu membenci dengan kepulangan Rosnah yang membawa penyakit AIDS. Malah Shakira dan nenek Kiah juga terkena tempias menjadi mangsa kebencian penduduk kampung apabila mereka dipulaukan oleh penduduk kampung. 

Akhirnya penderitaan Rosnah berakhir setelah beliau meninggal dunia. Kemudian Datuk Malik telah mempelawa Shakira dan neneknya untuk berpindah di rumahnya. 

Jika sebelum ini Airil jarang ke rumah Datuk Malik tetapi kini dia sering balik setiap hujung minggu untuk menemui Shakira. Airil makin terpikat dengan sifat Shakira yang sopan, sabar, selamba. Akan tetapi Airil berasa terperangkap dengan janjinya bersama arwah isteri Datuk Malik untuk berkahwin dengan anak mereka iaitu Anida.

Sejak kehadiran Shakira di rumah Datuk Malik, Anida adalah orang yang paling tidak menyukainya kerana beranggapan Shakira gadis miskin dan kotor yang telah merampas perhatian ayah dan Airil daripada dirinya. 

Shakira selalu dikutuk dan dihina oleh Anida. Tiap kali Anida nampak Airil mesra dan bergurau senda dengan Shakira, setiap kali itu jugalah Anida akan membalas semula dengan perbuatan yang menyakitkan Shakira. 

Anida memainkan peranannya untuk mempengaruhi Airil tentang keburukan Shakira yang diciptanya sendiri. Suatu hari Ainida telah memfitnah Shakira dengan memerangkap Shakira di dalam bilik Airil. 

Airil yang terkejut melihat Shakira yang hanya memakai sehelai tuala terus percaya dengan fitnah Anida yang Shakira adalah gadis tak bermoral kerana sanggup menggodanya. Kejadian itu telah menyebabkan Airil menghantar Shakira ke rumah perlindungan gadis, Rumah Bakti Kasih tanpa berbincang dengan Datuk Malik yang ketika itu berada di luar daerah. 

Airil yang kecewa dengan apa telah terjadi, dengan hati yang berat dia telah mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke luar negara.

Enam bulan telah berlalu dan Shakira telah selesai menduduki SPM. Datuk Malik membawa Shakira pulang ke rumah. Shakira berasa hairan melihat Datuk Malik yang seperti resah dan punya masalah.

Apabila ditanya, Datuk Malik sebenarnya mahu melamar Shakira. Shakira amat terkejut dan tak menyangka Datuk Malik yang selama ini dianggap ikhlas rupanya punya niat lain dan mahukan balasan. Namun apakah akan terjadi seterusnya? 

Adakah Shakira akan memperjudikan nasibnya dengan berkahwin bersama Datuk Malik demi membalas jasa lelaki yang dianggap seperti ayahnya itu? Ataupun Shakira akan menunggu kepulangan cinta pertamanya iaitu Airil? Antara Airil dan Datuk Malik, siapakah menjadi pilihan Shakira? 

Siapakah pula Putera Haziq dalam hidup Shakira? Apakah tindakan jahat yang akan dilakukan oleh Anida untuk menyekat Shakira mengecapi kebahagian? Mampukah Shakira menikmati kebahagian tanpa pengorbanan?

Sebenarnya cerita ni diadaptasi dari novel ini :




Lirik lagu Buatku di sana, merupakan ost Seindah Sakura.


Lirik Lagu Buatku Di Sana – Mafa feat Ronnie

 

Sering harungi sendiri kekurangan diri
Hanya Tuhan mengerti
Tak mengharap sang cinta mahupun dicinta
Umpama tiada rahsia

Kau sinar hati ini
Biarpun hanya sesaat di sisi
Pelita kala hati berduka
Kau hulurkan oh tanganmu kala hilang arah

Masih kau hadir jua menepis gelora
Tatkala aku merasa kecewa
Duniaku berubah kelam tak bermakna
Namun semangatmu ada di jiwa

Harapan kau beri cintamu bersemi
Air mataku tak bisa menitis
Kau nafas akhirku
Kau yang di hati

Usah menangis sendiri sayang ku kan pergi
Senyumlah usah meratapi
Kala ada masa kita ditakdir yang Esa
Cukuplah buatku di sana

Kau sinar hati ini
Biarpun hanya sesaat di sisi
Pelita kala hati berduka
Kau hulurkan oh tanganmu kala hilang arah

Aku bagai bintang menghiasi alam maya
Meninggalkan kilau tanpa sinar yang bercahya
Detik percintaan persis satu anugerah
Aku pinta hanya bercinta

Masih kau hadir jua menepis gelora
Tatkala aku merasa kecewa
Duniaku berubah kelam tak bermakna
Namun semangatmu ada di jiwa

Harapan kau beri cintamu bersemi
Air mataku tak bisa menitis
Kau nafas akhirku
Kau yang di hati







1 comment:

  1. drama terbaek..sbb ciksu suka fasha sandha..sbb lakonannya mantop tapi tak suka cara pakaiannya yg kadang2 boleh gugat iman..kih22..digandingkan pulak dengan abg fahrin..memang sesuai..

    lagu pon best kan..
    layan je ..

    ReplyDelete